DYMM Sultan Ibrahim |
23 Nov. - Cuti hujung minggu di Johor akan ditukar kepada hari Jumaat dan Sabtu mulai 1 Januari depan, titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Baginda bertitah, hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan keberkatan hari itu hendaklah diambil peluang oleh umat Islam untuk memperbanyakkan amalan yang dituntut dan disunatkan.
"Jika kita perhatikan pada masa kini, orang lelaki terkejar-kejar ke masjid untuk solat Jumaat pada waktu rehat yang singkat, waktu khutbah pula sering dijadikan sebagai waktu untuk berehat dan tidur.
"Selepas selesai solat Jumaat pula, mereka bergegas bangun dan meninggalkan masjid sehingga ada yang tidak sempat untuk menunggu imam membaca doa.
"Oleh yang demikian setelah meneliti banyak pandangan, saya telah membuat keputusan muktamad supaya hari cuti mingguan bagi negeri Johor ditukar kepada hari Jumaat dan Sabtu bermula 1 Jan 2014," titah baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam majlis Doa Kesyukuran, Majlis Teriman, Majlis Menghadap Takzim dan Majlis Darjah dan Pingat sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini hari ini.
Turut berangkat isteri baginda Raja Zarith Sofiah, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan anakanda-anakanda baginda yang lain.
Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131124/dn_01/Johor-cuti-Jumaat,-Sabtu#ixzz2lf6CxZXs
© Utusan Melayu (M) Bhd
Comments
Post a Comment