PENGARAH PELAJARAN JOHOR
Anakanda,
Ke hadapan anakanda calon-calon UPSR negeri Johor yang dikasihi. Semoga anakanda dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus tabah dalam ketekunan memburu kejayaan pada peperiksan UPSR yang mendatang.
Diharapkan dengan kehadiran warkah ini, anakanda sedar bahawa anakanda tidak keseorangan dalam perjuangan menghadapi peperiksaan . Warkah ini adalah umpama harapan dan kasih sayang ayahanda agar usaha untuk mencapai segala cita-cita anakanda tercapai dengan gemilang.
Anakanda yang dikasihi,
Sebarang usaha untuk mencipta kejayaan menuntut pengorbanan diri, masa dan harta . Ini adalah fitrah atau tradisi. Yang pipih tidak akan datang melayang dan yang bulat tidak akan datang bergolek. Pepatah berbunyi berakit-rakit ke hulu , berenang-renang ke tepian , bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian. Kesusahan dan kepayahan semasa mengejar cita-cita adalah pengalaman yang indah dan berharga sebelum menempa kejayaan.
Anakanda yang dikasihi,
Pertamanya, Anakanda harus sedar bahawa masa itu emas , gunakanlah setiap detik sebaiknya. Amalan suka bertangguh tidak menjadi kebiasaan.Anakanda seharusnya sentiasa mengamalkan perkara yang luarbiasa untuk menjadi cemerlang.
Keduanya, anakanda harus terus berusaha melakukan perkara yang paling penting ketika ini. Oleh yang demikian seorang pelajar yang berjaya dari segi mengutamakan “pekerjaannya” seharusnya sentiasa mementingkan aktiviti pembelajaran lebih dari aktiviti-aktiviti yang lain. Masanya sepatutnya sentiasa diperuntukkan untuk menghadirkan diri ke sekolah setiap hari, belajar di dalam kelas bersungguh-sungguh ,mengulangkaji pelajaran di perpustakaan, bertanyakan masalah pembelajaran pada guru-guru , menghadiri kelas-kelas tambahan dan bersama rakan-rakan berbincang berkongsi ilmu.
Anakanda yang dikasihi,
Ketiganya, Jangan merasa cemas walaupun ketika ini masa semakin suntuk atau anakanda baru tersedar dari lamunan . Bagi anak-anak yang sudah membuat persediaan awal , tahniah ayahanda ucapkan . Namun bagi anak-anak yang merasa masih banyak lagi yang perlu diulangkaji , uruskan pembahagian masa . Buatlah perbincangan dengan ibubapa , guru atau rakan untuk mendapatkan idea terbaik untuk menggunakan masa yang berbaki ini. Sesungguhnya Sesal dahulu pendapatan , Sesal kemudian tidak berguna. Keempatnya , ayahanda nasihatkan agar anakanda jangan mudah patah semangat apabila menghadapi apa jua masalah ketika ini. Setiap masalah mempunyai jalan penyelesaiannya. Berbincanglah dengan guru yang paling anakanda sayang atau berjumpalah dengan guru kaunselor di sekolah . Anakanda mintalah pada mereka buah fikiran yang berguna untuk menyelesaikan masalah anakanda. Ayahanda jamin mereka pasti membantu.
Anakanda yang dikasihi,
Kelimanya, ayahanda mengharapkan agar anakanda menjaga kesihatan , makanlah makanan yang berkhasiat supaya badan sentiasa sihat dan cergas . Ingat , badan yang sihat menentukan otak yang cerdas. Jangan lupa untuk minta doa restu dari ibubapa dan guru . Berbuat baiklah pada mereka , kerana tanpa mereka siapalah kita. Sesungguhnya tiada apa yang paling membahagiakan mereka selain melihat anakanda berjaya. Gembirakanlah mereka kerana mereka sudah begitu banyak berjasa kepada anakanda. Gantikanlah penat lelah dan pengorbanan mereka dengan kejayaan yang anakanda perolehi nanti .
Sebelum ayahanda mengundur diri, hendaknya anakanda sentiasa tenang dan tabah menghadapi peperiksaan UPSR yang bermula 8 September ini. Ingatlah walaupun masa telah begitu singkat tetapi anakanda masih sempat untuk mengatur langkah menuju kejayaan. Berjanjilah kepada ayahanda , untuk mencapai 5A dalam peperiksaan kelak dan bersama-sama mengukir gemilang “Johor Top 5”.Sampaikan salam takzim ayahanda pada ibubapa dan gurumu , ayahanda berdoa agar kalian berjaya dalam apa jua kecemerlangan yang ingin anakanda capai.
“Selamat menduduki peperiksaan UPSR. Semoga Berjaya”
Daripada Ayahanda
(HAJI SUFA’AT BIN TUMIN)
Pengarah Pelajaran Johor
*Sumber daripada Laman web rasmi PPD Kulai
Comments
Post a Comment